SEMOGA ALLAH REDHA Koleksi Hadith-hadith Fitan

Saturday, 3 May 2014

Hadith 20:
Perang Di Sekitar Sungai Furat Kerana Merebut Kekayaan

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ - يَعْنِي ابْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْقَارِيَّ - عَنْ سُهَيْلٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَحْسِرَ الْفُرَاتُ عَنْ جَبَلٍ مِنْ ذَهَبٍ يَقْتَتِلُ النَّاسُ عَلَيْهِ فَيُقْتَلُ مِنْ كُلِّ مِائَةٍ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَيَقُولُ كُلُّ رَجُلٍ مِنْهُمْ لَعَلِّي أَكُونُ أَنَا الَّذِي... أَنْجُو " .
)كتاب الفتن وأشراط الساعة, باب لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَحْسِرَ الْفُرَاتُ عَنْ جَبَلٍ مِنْ ذَهَبٍ,٢٨٩٤, صحيح مسلم (

Maksudnya:
Qutaibah bin Said telah menceritakan kepada kami, Ya’qub iaitu Ibn Abd al-Rahman al-Qari telah menceritakan kepada kami, daripada Suhail daripada bapanya daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak berlaku hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, iaitu sebuah sungai yang terdapat di Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung emas. Banyak orang yang terbunuh kerana berebut mendapatkannya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan dari seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata. ‘Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu’.”(HR Muslim)

Keterangan Hadith:
Hadis ini jelas sekali menerangkan kepada kita, di negara Iraq dan sekitarnya akan tersebar peperangan yang disebabkan merebut harta kekayaan yang terdapat di tempat tersebut, banyak yang menjadi korban dan semua yang terlibat bercita-cita hanya dia akan terselamat dari bala tersebut.

Pengajaran Hadith:
1. Mendidik hati agar tidak taksub kepada harta dunia dan sentiasa berdoa agar dihindari daripada fitnah harta.
2. Perpada-pada dalam mencari harta di dunia, ia perlu diseimbangkan dengan amalan ibadah kepada Allah sebagai bekalan di Akhirat.

Rujukan:
Imam al-Hafiz Abi Husain Muslim bin al-Hajjaj. Sahih Muslim. Baitul Afqar Dauliyyah: Riyadh. Kitab 52. Bab 8. No. Hadith 2894. Halaman: 1160.
Abu Ali al-Banjari An-Nadwi. 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman. 2000. Khazanah Banjariah : Kedah. Halaman 69-70.
Hadith 19:
Orang Yang Tidak Suka Untuk Meningkatkan Bilangan Fitnah Dan Kezaliman

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَزِيدَ حَدَّثَنَا حَيْوَةُ وَغَيْرُهُ قَالاَ حَدَّثَنَا أَبُو الأَسْوَدِ. وَقَالَ اللَّيْثُ عَنْ أَبِي الأَسْوَدِ قَالَ : قُطِعَ عَلَى أَهْلِ الْمَدِينَةِ بَعْثٌ فَاكْتُتِبْتُ فِيهِ فَلَقِيتُ عِكْرِمَةَ فَأَخْبَرْتُهُ فَنَهَانِي أَشَدَّ النَّهْىِ ثُمَّ قَالَ أَخْبَرَنِي ابْنُ عَبَّاسٍ أَنَّ أُنَاسًا مِنَ الْمُسْلِمِينَ كَانُوا مَعَ الْمُشْرِكِينَ يُكَثِّرُونَ سَوَادَ الْمُشْرِكِينَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَيَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى فَيُصِيبُ أَحَدَهُمْ فَيَقْتُلُهُ أَوْ يَضْرِبُهُ فَيَقْتُلُهُ. فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى {إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلاَئِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ{

Maksudnya:

Abdullah bin Yazid telah menceritakan kepada kami, Haiwah telah menceritakan kepada kami dan selainnya, keduanya berkata, Abu al-Aswad telah menceritakan kepada kami, al-Laith telah berkata daripada Abi al-Aswad, kemudian Abi al-Aswad berkata: Ketika unit tentera telah ditetapkan untuk penduduk Madinah, aku pun telah mendaftarkan diri di kalangan mereka. Kemudian aku telah bertemu dengan ‘Ikrimah dan apabila aku memaklumkan kepadanya akan tentang hal tersebut, dia telah melarang aku dengan keras dan berkata, “Ibn Abbas telah memberitahuku bahawa terdapat beberapa orang Islam pernah bersama dengan orang-orang Kafir untuk meningkatkan jumlah orang-orang kafir untuk menentang Rasulullah SAW. Maka anak panah pun dilemparkan dan telah terkena kepada salah seorang dari mereka sehingga membunuhnya atau dia memukul sehingga membunuhnya maka Allah SWT telah menurunkan ayat: “ Sesungguhnya orang-orang yang dimatikan oleh para Malaikat dalam keadaan mezalimi diri-diri mereka ”.

Keterangan Hadith:

Ibn Hajar telah mengatakan bahawa bagi orang yang mengambil dari riwayat Ibnu Lahi’ah dengan sanad yang mausul pada perbahasan tafsir surah an-Nisa’ disertai penjelasan hadith. Seterusnya, pendapat lain ada mengatakan pada ayat فَيَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى “anak panah datang maka di panahkan kepadanya” membawa maksud yang terbalik dan maksud yang sebenar adalah “ maka anak panah itu dilemparkan dan ia datang”.Kemudian Ibn Hajar mengatakan mungkin juga huruf “fa” yang kedua adalah sebagai tambahan dan redaksi seperti ini telah disebutkan dalam riwayat Abu Zar dalam surah an-Nisa’, فَيَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى “Maka anak panah datang dan di panahkan kepadanya”.
Maksud dari ayat فَيَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى “Maka anak panah datang dan di panahkan kepadanya” ialah dia telah dibunuh dengan anak panah dan juga pedang. Riwayat ini menyalahkan mereka yang tinggal dari kalangan mereka yang melakukan maksiat secara suka rela dan menyelamatkan orang Islam dari kebinasaan walaupun mereka mampu untuk menghindarkan diri mereka dari perkara maksiat tanpa ada keuzuran. Hal ini seperti kepada orang-orang yang masuk Islam namun orang Kafir dihalangi untuk melakukan hijrah. Kemudian orang Islam telah keluar bersama dengan orang Kafir tetapi niat mereka tidak untuk memerangi umat Islam namun hanya untuk memperbanyakkan bilangan orang Kafir supaya umat Islam melihat dari sudut itu.
Kemudian Ikrimah telah memberikan pandangan beliau bahawa barang siapa yang telah keluar bersama mereka yang hendak memerangi umat Islam maka dia telah berdosa walaupun dia tidak berperang dan tidak pula meniatkannya. Hal ini seperti yang di tegaskan dalam hadith "هم القوم لا يشقى بهم جليسهم" membawa maksud ( Mereka adalah orang-orang yang tidak akan mencelakai kawan duduk mereka) seperti yang telah dijelaskan pada perbahasan tentang kelembutan hati.

Pengajaran Hadith:
1. Sentiasa berpegang teguh dengan akidah supaya dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
2. Memupuk sikap sentiasa berani dan berjihad ke jalan Allah SWT demi menegakkan agama Islam iaitu agama yang benar.
3. Tidak bersikap berpura-pura dan sentiasa jujur serta amanah dalam menegakkan agama Allah SWT.

Rujukan:
(Ibn Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 12. Halaman ( 123-124)
Hadith 18:
Perkara-perkara Yang Diingkari

حَدَّثَنَا أَبُو النُّعْمَانِ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ الْجَعْدِ أَبِي عُثْمَانَ حَدَّثَنِي أَبُو رَجَاءٍ الْعُطَارِدِيُّ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ شِبْرًا فَمَاتَ إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksudnya:
Abu Nu’man telah menceritakan kepada kami, Hammad bin Zaid telah menceritakan kepada kami daripada al-Ja’d bin Abi Uyhman, Abu Raja’ al-‘Uthardi telah menceritakan kepadaku, dia berkata, aku mendengar Ibn Abbas daripada Nabi SAW bersabda: Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas ra bahawa Nabi Saw pernah bersabda: "Sesiapa yang melihat sesuatu daripada pemimpinnya yang tidak disukainya, hendaklah dia bersabar, kerana orang yang memisahkan diri dengan pemimpinnya meskipun sejengkal, maka dia akan mati dalam jahiliyah".

Keterangan Hadith:

Ketaatan kepada pemimpin adalah salah satu kewajipan dalam agama, bahkan agama tidak akan tegak tanpanya. Hal ini kerana suatu kemaslahatan umat tidak akan dicapai melainkan umat masyarakat tersebut bersatu di bawah satu jemaah dan satu kepimpinan yang adil dan saksama.
Imam Bukhari berkata: “Aku telah berjumpa dengan 1000 lebih para ulama di Hijjaz, Mekah, Madinah, Kufah, Bashraah, Wasith, Baghdad, Syam dan Mesir. Aku berjumpa dengan mereka berulang-ulang kali dari satu generasi ke generasi lain. Aku tidak pernah melihat seorangpun daripada mereka yang berbeza pendapat dalam sesuatu masalah.” Berdasarkan sabda Nabi SAW: “Ada 3 perkara di mana hati seseorang muslim tidak akan dengki terhadapnya iaitu mengikhlaskan amalan kerana Allah, mentaati perintah dan komitmen dengan al-jamaah kerana doa kepada pemerintah akan berkaitan juga dengan rakyatnya.” Selain itu, al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Para ulama telah bersepakat atas kewajipan taat kepada pemimpin yang menang (dalam merebut kekuasaan) dan wajib jihad bersamanya. Taat kepadanya lebih baik daripada membangkang kepadanya kerana hal tersebut akan mencegah pertumpahan darah dan menjamin kesejahteraan rakyat”.

Pengajaran Hadith:
1. Wajib ke atas kita untuk mentaati pemerintah yang melaksanakan syariat Islam sebenar-benarnya.
2. Elakkan diri daripada terjerumus ke dalam kancah perpecahan dan perselisihan.


(Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 2. Halaman 9-23.)
Hadith 17:
Kematian Lebih Baik Ketika Berlaku Fitnah

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنِ الأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَمُرَّ الرَّجُلُ بِقَبْرِ الرَّجُلِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي مَكَانَهُ ".

Maksudnya:
Ismail telah menceritakan kepada kami, Malik telah menceritakan kepadaku daripada Abi al-Zinad daripada al-A'raj daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga seseorang melalui kubur orang lain lalu berkata, ‘alangkah baik sekiranya aku yang berada di tempatya’.”

Keterangan Hadith:
Ibn Battal mengatakan bahawa iri hati terhadap penghuni kubur dan mengharapkan kematian ketika berlakunya fitnah adalah kerana seseorang itu khuatir kehilangan agamanya disebabkan kebatilan yang melular. Begitu juga dengan merebaknya kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku. Ibn Baththal menambah dengan menyatakan bahawa perkara ini tidak berlaku secara umum bagi semua manusia tetapi khusus bagi orang-orang yang baik. Hal ini sedemikian kerana mungkin sahaja sesetengah orang mengharapkan kematian disebabkan musibah yang menimpanya. Perkara ini sangat ditegah berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Janganlah seorang di antara kamu mengharapkan kematian karena musibah yang menimpanya dan apabila dia memang harus mengharapkan, sebaiknya dia berkata: Ya Allah! Hidupkanlah aku selama kehidupan itu yang terbaik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu yang terbaik bagiku.”
al-Qurtubi mengatakan di dalam hadith ini terdapat isyarat mengenai fitnah dan kesulitan yang sangat teruk terjadi sehingga urusan agama diabaikan. Di mana semua orang sibuk menguruskan urusan duniawinya sahaja tanpa mengambil berat soal agama. Oleh itu, makruh mengharapkan kematian apabila berkenaan dengan kemudaratan atau kesempitan hidup duniawi, tetapi tidak makruh apabila motivasinya kerana takut fitnah terhadap agama disebabkan kerosakan zaman.

Pengajaran Hadith:
1. Mengharap kepada kematian dibolehkan sekiranya dia risau terhadap gejala fitnah mengenai agamanya khusunya pada akhir zaman.
2. Umat Islam mestilah sentiasa bersedia dengan fitnah yang akan berlaku serta melakukan amalan yang boleh menjadi benteng kepada fitnah.

Rujukan:

Ibn Hajar Al Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 22. Halaman 253-257.
Hadith 16:
Fitnah Yang Bergolak Seperti Gelombang Di Lautan

حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ حَفْصِ بْنِ غِيَاثٍ حَدَّثَنَا أَبِي حَدَّثَنَا الأَعْمَشُ حَدَّثَنَا شَقِيقٌ سَمِعْتُ حُذَيْفَةَ يَقُولُ بَيْنَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ عُمَرَ قَالَ أَيُّكُمْ يَحْفَظُ قَوْلَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي الْفِتْنَةِ. قَالَ " فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلاَةُ وَالصَّدَقَةُ وَالأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْىُ عَنِ الْمُنْكَرِ ". قَالَ لَيْسَ عَنْ هَذَا أَسْأَلُكَ وَلَكِنِ الَّتِي تَمُوجُ كَمَوْجِ الْبَحْرِ. قَالَ لَيْسَ عَلَيْكَ مِنْهَا بَأْسٌ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ إِنَّ بَيْنَكَ وَبَيْنَهَا بَابًا مُغْلَقًا. قَالَ عُمَرُ أَيُكْسَرُ الْبَابُ أَمْ يُفْتَحُ قَالَ بَلْ يُكْسَرُ. قَالَ عُمَرُ إِذًا لاَ يُغْلَقَ أَبَدًا. قُلْتُ أَجَلْ. قُلْنَا لِحُذَيْفَةَ أَكَانَ عُمَرُ يَعْلَمُ الْبَابَ قَالَ نَعَمْ كَمَا أَعْلَمُ أَنَّ دُونَ غَدٍ لَيْلَةً وَذَلِكَ أَنِّي حَدَّثْتُهُ حَدِيثًا لَيْسَ بِالأَغَالِيطِ. فَهِبْنَا أَنْ نَسْأَلَهُ مَنِ الْبَابُ فَأَمَرْنَا مَسْرُوقًا فَسَأَلَهُ فَقَالَ مَنِ الْبَابُ قَالَ عُمَرُ.

Maksudnya:
Umar bin Hafs bin Ghiyath telah menceritakan kepada kami, bapaku telah menceritakan kepada kami, al-A'masy telah menceritakan kepada kami, Syaqiq telah menceritakan kepada kami, aku mendengar Hudzaifah berkata, ketika kami duduk bersama ‘Umar, tiba-tiba beliau bertanya: “Siapakah daripada kalangan kamu semua yang menghafal hadis Nabi SAW tentang fitnah?” Kata Huzaifah: “Fitnah (kekurangan dalam melaksanakan kewajipan) seorang lelaki terhadap keluarga, harta, anak dan jirannya, akan dihapuskan dengan solat, sedekah dan amar makruf nahi mungkar.” ‘Umar berkata: “Bukan fitnah itu yang saya maksudkan, akan tetapi yang saya tanyakan ialah fitnah yang memukul seperti gelombang laut.” Jawab Huzaifah: “Jangan bimbang wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya antara anda dan fitnah itu ada satu pintu yang tertutup”. Berkata ‘Umar: “Apakah pintu itu akan dipecahkan atau akan dibuka?” Jawab Huzaifah: “Bahkan ia akan dipecahkan.” Kata ‘Umar: “Jika demikian dia tidak akan ditutup lagi buat selama-lamanya.” Jawab Huzaifah: “Ya benar.” Lalu kami bertanya kepada Huzaifah: “Apakah ‘Umar mengetahui pintu tersebut?” Beliau menjawab: “Ya, dia mengetahuinya sepertimana pengetahuannya akan ketiadaan hari esok tanpa terlebih dahulu datangnya malam, hal itu demikian kerana aku mengkhabarkan kepadanya satu berita yang bukanlah kabur padanya. (kata Syaqiq) kami bimbang untuk bertanya kepada Huzaifah siapakah pintu tersebut, lalu kami meminta Masruk untuk bertanya, lalu Masruk bertanya kepada Huzaifah: “Siapakah pintu tersebut?” Jawab Huzaifah: “Pintu itu adalah ‘Umar.”
Keterangan Hadith:
Hadis ini merupakan pengkhabaran daripada Nabi SAW akan keadaan akan datang, dimana fitnah akan berlaku, maka baginda SAW memberi peringatan kepada umat Baginda agar bersegera melakukan amalan soleh dan jangan melengah-lengahkannya lagi, kerana apabila sampai waktu fitnah seseorang itu tidak mampu lagi melakukan apa-apa amalan soleh.
Ternyata setelah wafatnya baginda SAW berlaku banyak fitnah yang menguji ketahanan iman dan keyakinan setiap muslim. Bermula dari berlakunya kemurtadan di kalangan masyarakat Arab dengan kewafatan baginda. Namun fitnah ini berjaya ditanggapinya oleh kesemua para sahabat yang diketuai oleh Khalifah yang pertama, Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq RA. Setelah api fitnah ini berjaya dipadamkan oleh para sahabat datang pula fitnah yang berikutnya dan ia berterusan merebak sehingga ke hari ini, iaitulah fitnah yang bermula dengan pembunuhan khalifah Islam yang ketiga Sayyidina ‘Uthman bin al-‘Affan RA. Pintu kepada fitnah ini adalah dengan kematian Khalifah yang kedua, Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab RA.
Fitnah kekacauan dan peperangan ini apabila berlaku ia akan terus berterusan. Ia merupakan fitnah yang menyesatkan manusia, termasuk di dalam fitnah kekacauan ini adalah fitnah politik, ideologi, keyakinan dan pengamalan yang dinyatakan oleh Nabi SAW seseorang itu boleh menjadi beriman pada pagi hari, namun apabila petang dia menjadi kafir, boleh jadi seseorang itu beriman pada petang harinya pula, namun pada pagi keesokannya dia menjadi kafir. Keadaan ini disebabkan seruan kebatilan yang dihadap dan diajukankan kepadanya sehingga dia tidak dapat membezakan lagi antara kebenaran dengan kebatilan.
Pengajaran Hadith:
1. Umat Islam harus beriltizam dengan melakukan amalan soleh merupakan sebab terselamat dari fitnah yang menyesatkan ini. Hal ini demikian kerana sesiapa yang berpegang teguh dengan agama Allah ketika dalam keadaan selesa dan selamat, maka ketika kedatangan fitnah ia akan tetap terselamat. Melakukan amalan soleh adalah dengan berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah, kerana kedua-duanya merupakan penyelamat dan pelindung daripada fitnah.
2. Kita hendaklah menjauhkan diri kita daripada terjebak dengan gejala fitnah duniawi.

Rujukan:

Ibnu Hajar al-Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 17 Halaman 157-179.
Hadith 15:
Kemunculan Fitnah

حَدَّثَنَا عَيَّاشُ بْنُ الْوَلِيدِ أَخْبَرَنَا عَبْدُ الأَعْلَى حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ سَعِيدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ يَتَقَارَبُ الزَّمَانُ وَيَنْقُصُ الْعَمَلُ وَيُلْقَى الشُّحُّ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ وَيَكْثُرُ الْهَرْجُ ‏"‏‏.‏ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّمَ هُوَ‏.‏ قَالَ ‏"‏ الْقَتْلُ الْقَتْلُ ‏"‏‏.‏
 وَقَالَ شُعَيْبٌ وَيُونُسُ وَاللَّيْثُ وَابْنُ أَخِي الزُّهْرِيِّ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ حُمَيْدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم‏.
)كتاب الفتن, باب ظُهُورِ الْفِتَنِ, 7061, حديث صحيح(

Maksudnya:
‘Ayyash bin al-Walid telah menceritakan kepada kami, Abd al-A’la telah mengkhabarkan kepada kami, Ma’mar telah menceritakan kepada kami daripada al-Zuhri daripada Said dari Abu Hurairah daripada Nabi SAW, baginda bersabda, “Waktu berdekatan, amalan semakin berkurang, kekikiran semakin dipraktikkan, munculnya fitnah dan banyak terjadi harj.” Mereka yakni para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan harj itu?” Baginda bersabda, “Pembunuhan pembunuhan”.
Syu’aib, Yunus, al-Laith dan putra saudara al-Zuhri berkata, Daripada Al-Zuhri, daripada Humaid daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW.
(Kitab Fitan, Bab Kemunculan Fitnah, 7061, Shahih Bukhari)

Keterangan Hadith :
Pada akhir zaman ini, banyak terjadinya fitnah yang mampu merosakkan institusi masyarakat dan negara itu sendiri. Di antara faktor yang menyebabkan berlakunya fitnah adalah seperti :
Terlalu taksub atau mengikut dorongan perasaan iri hati dan dengki terhadap orang lain, ditambah lagi dengan kurangnya ilmu dan iman di dalam diri, menyebabkan perasaan ini sukar untuk dibendung.
Ingin mendapatkan kepercayaan dan kuasa orang terhadap diri dan dakwaannya.
Dalam hadith di atas, ada menyatakan bahawa di akhir zaman ini akan munculnya fitnah dan banyak terjadinya pembunuhan. Ini kerana perbuatan menabur fitnah sebenarnya lebih kejam dari pembunuhan , kerana kesan kerosakannya adalah lebih teruk. Jika dengan membunuh, mangsanya mungkin seorang, tetapi dengan fitnah mungkin mengakibatkan ramai orang dan kesannya akan berlanjutan sehingga bertahun-tahun.
Disebabkan demikian, umat Islam sewajarnya tidak menerima apa-apa berita itu secara membuta tuli sahaja. Malah ia perlu diselidiki, adakah ia khabar yang benar atau palsu lebih-lebih lagi berita yang menyentuh kehormatan seseorang.

Pengajaran Hadith:
Dosa membuat fitnah adalah dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan di ampunkan oleh Allah memlainkan orang yang difitnah itu yang memberikan keampunan.
Perbuatan fitnah adalah perbuatan mengadu-domba yang mudah mengakibatkan permusuhan diantara dua pihak yang dikaitkan dengan sesuatu fitnah.
Kita perlu sentiasa memperbaiki amalan ke arah kebaikan.

Rujukan:

Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari Bi Sharh Shahih Al-Bukhari. Juzuk 13. Dar Makrifah: Beirut. Kitab 92. Bab 5. Halaman 13-19.
Hadith 14:
Menghindarkan Diri Daripada Fitnah

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي صَعْصَعَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " يُوشِكُ أَنْ يَكُونَ خَيْرَ مَالِ الْمُسْلِمِ غَنَمٌ يَتْبَعُ بِهَا شَعَفَ الْجِبَالِ وَمَوَاقِعَ الْقَطْرِ يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنَ الْفِتَنِ ".

Maksudnya:
Abdullah bin Yusuf telah menceritakan kepada kami, Malik telah mengkhabarkan kepadaku daripada Abd al-Rahman bin Abdullah bin Abi Sa’sa’ah daripada bapanya daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa dia berkata, Rasulullah SAW: “Akan datang kepada manusia satu masa yang mana kambing menjadi harta terbaik bagi orang muslim. Dia akan mendaki dan menyusuri tebing-tebing bukit membawa kambing-kambingnya itu semata-mata untuk melarikan dirinya daripada fitnah”.

Keterangan Hadith:
1. Hadis ini merupakan dalil bagi orang yang mengasingkan diri kerana risau akan keselamatan agamanya.
2. Para ulama salaf berbeza pendapat mengenai hukum asal uzlah (mengasingkan diri). Menurut jumhur, berinteraksi sesama manusia adalah lebih utama kerana mendatangkan faedah-feadah agama seperti melaksanakan syiar Islam, memperbanyakkan jumlah kaum muslimin dan memberi pelbagai kebaikan kepada kaum muslimin seperti memberi bantuan dan lain-lain. Sebahagian lain berpendapat bahawa mengasingkan diri adalah lebih utama kerana lebih menjamin keselamatan dengan syarat mengetahui apa yang mesti dilakukan.Imam al-Nawawi berpendapat bahawa seseorang itu perlu berinteraksi dengan manusia lain yakni tidak mengasingkan diri daripada ketika fitnah berlaku sekiranya dia yakin tidak akan terjerumus ke dalam kancah fitnah tersebut.
3. Namun, jika dia tidak mempunyai keyakinan menghadapinya, maka mengasingkan diri adalah lebih utama.

Pengajaran Hadith:
1. Menjauhkan diri iaitu mengasingkan diri daripada fitnah digalakkan jika ianya membawa kemaslahatan.
2. Berjemaah hendaklah atas kebenaran iaitu umat Islam bersatu atas kebenaran yang berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.
3. Tidak boleh bersatu di atas sesuatu yang batil atau terkeluar daripada batas-batas Islam.

Rujukan:

(Ibn Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 14. Halaman 133-142.)