Hadith 13:
Fitnah Orang Yang Duduk Lebih Baik Daripada
Orang Yang Berdiri
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا
إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ. قَالَ إِبْرَاهِيمُ وَحَدَّثَنِي صَالِحُ بْنُ كَيْسَانَ عَنِ
ابْنِ شِهَابٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ
اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : سَتَكُونُ فِتَنٌ الْقَاعِدُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْقَائِمِ
وَالْقَائِمُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْمَاشِي وَالْمَاشِي فِيهَا خَيْرٌ مِنَ السَّاعِي
مَنْ تَشَرَّفَ لَهَا تَسْتَشْرِفْهُ فَمَنْ وَجَدَ فِيهَا مَلْجَأً أَوْ مَعَاذًا
فَلْيَعُذْ بِه
Maksudnya:
Muhammad bin Ubaidullah telah menceritakan
kepada kami, Ibrahim bin Sa’d telah menceritakan kepada kami daripada bapanya
daripada Abu Salamah bin Abd al-Rahman daripada Abu Hurairah (ح). Ibrahim berkata, Salih bin Kisan telah menceritakan kepada
kami daripada Ibn Shihab daripada Sa’id bin al-Musayyab daripada Abu Hurairah
r.a, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Akan ada fitnah-fitnah, yang mana
orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri
lebih baik daripada orang yang berjalan dan orang yang berjalan lebih baik
daripada orang yang berlari dalam fitnah tersebut. Sesiapa berusaha menghadapi
fitnah itu, maka fitnah itu akan mempengaruhinya. Sesiapa mendapatkan tempat
berlindung, maka dia sebaiknya berlindung di tempat tersebut”.
Keterangan Hadith Dan Pendapat Para Ulama
Ibn al-Tin menyebutkan daripada al-Dawudi
bahawa maksud hadis tersebut ialah ditujukan kepada semua individu yang
terlibat dalam perkara fitnah itu. Di mana sebahagian daripada mereka lebih
berat ( keterlibatannya ) berbanding dari yang lain. Individu yang paling
tinggi tahapnya adalah orang yang berlari di mana dia menjadi penyebab fitnah
semakin berleluasa. Kemudian orang yang berjalan yang mana dia melakukan
sebab-sebab fitnah dan diikuti kawan-kawan mereka yang memperhatikannya iaitu
orang yang duduk. Seterusnya orang yang menjauhi fitnah dan tidak terlibat
dengan fitnah iaitu orang yang terbaring dan terjaga. Akhir sekali adalah orang
yang tidak ada sangkut paut dengan fitnah sedikitpun namun dia redha, iaitu
orang yang tidur. Maksud kelebihan pada kebaikan ini adalah orang yang lebih
sedikit keburukannya berbanding orang yang di atasnya sesuai perinciaan
tersebut.
Al-Tabari telah mengatakan bahawa para ulama
mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini. Terdapat sebahagian yang memahami
secara umum iaitu mereka yang tidak terlibat dalam peperangan antara kaum
Muslimin dengan secara mutlak. Mereka adalah seperti Sa’d, Ibn Umar, Muhammad
bin Maslamah, Abu Bakrah dan lain-lain dimana mereka berpegang kepada isi
kandungan hadith tersebut.
Selain itu, hadith ini juga membahaskan apabila
terdapat sekelompok kumpulan yang membangkang terhadap imam (pemimpin) dengan
tidak menunaikan kewajipan, lalu berlakunya peperangan maka wajib pemimpin itu
memerangi kelompok tersebut. Terdapat pendapat lain yang mengatakan sekiranya
berlaku peperangan antara kaum muslimin di mana tidak ada imam bagi jamaah,
maka peperangan ketika itu dilarang.
Al-Tabari telah mengatakan bahawa pendapat yang
benar bagi maksud fitnah ialah dugaan, sementara mengingkari kemungkaran adalah
wajib bagi yang mampu melakukannya. Barangsiapa menolong pihak yang benar
bermaksud dia telah melakukan tindakan yang betul, dan barangsiapa yang
menolong pihak yang salah bermaksud dia telah melakukan tindakan yang salah.
Sekiranya kita tidak mengetahui pihak yang benar atau salah, maka sebagaimana
yang telah diperintahkan oleh Nabi SAW yakni tidak melibatkan diri dalam
masalah tersebut.
Pendapat lain mengatakan bahawa hadith-hadith
yang melarang perbuatan tersebut merupakan larangan khusus untuk umat akhir
zaman kerana peperangan ketika itu hanya untuk mendapatkan kekuasaan.
Pengajaran Hadith:
1. Sentiasa memupuk sikap berwaspada dan
berhati-hati dalam diri sendiri agar terhindar dari sebarang fitnah.
2. Sentiasa bijak dalam membuat keputusan iaitu
menyebelahi pihak yang benar kepada perkara yang benar dan tepat dan tidak akan
menyebelahi pihak yang tidak benar kepada perkara yang tidak benar.
3. Tidak mudah terpengaruh dan berburuk sangka
kepada perkara-perkara yang membawa kepada unsur-unsur kekeliruan.
Rujukan:
Ibn Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari
Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama.
Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 9. Halaman 94, 97, 99
& 100.
No comments:
Post a Comment