Hadith 16:
Fitnah Yang Bergolak Seperti Gelombang Di
Lautan
حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ حَفْصِ بْنِ غِيَاثٍ حَدَّثَنَا
أَبِي حَدَّثَنَا الأَعْمَشُ حَدَّثَنَا شَقِيقٌ سَمِعْتُ حُذَيْفَةَ يَقُولُ بَيْنَا
نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ عُمَرَ قَالَ أَيُّكُمْ يَحْفَظُ قَوْلَ النَّبِيِّ صلى الله
عليه وسلم فِي الْفِتْنَةِ. قَالَ " فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ
وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلاَةُ وَالصَّدَقَةُ وَالأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ
وَالنَّهْىُ عَنِ الْمُنْكَرِ ". قَالَ لَيْسَ عَنْ هَذَا أَسْأَلُكَ وَلَكِنِ
الَّتِي تَمُوجُ كَمَوْجِ الْبَحْرِ. قَالَ لَيْسَ عَلَيْكَ مِنْهَا بَأْسٌ يَا أَمِيرَ
الْمُؤْمِنِينَ إِنَّ بَيْنَكَ وَبَيْنَهَا بَابًا مُغْلَقًا. قَالَ عُمَرُ أَيُكْسَرُ
الْبَابُ أَمْ يُفْتَحُ قَالَ بَلْ يُكْسَرُ. قَالَ عُمَرُ إِذًا لاَ يُغْلَقَ أَبَدًا.
قُلْتُ أَجَلْ. قُلْنَا لِحُذَيْفَةَ أَكَانَ عُمَرُ يَعْلَمُ الْبَابَ قَالَ نَعَمْ
كَمَا أَعْلَمُ أَنَّ دُونَ غَدٍ لَيْلَةً وَذَلِكَ أَنِّي حَدَّثْتُهُ حَدِيثًا لَيْسَ
بِالأَغَالِيطِ. فَهِبْنَا أَنْ نَسْأَلَهُ مَنِ الْبَابُ فَأَمَرْنَا مَسْرُوقًا فَسَأَلَهُ
فَقَالَ مَنِ الْبَابُ قَالَ عُمَرُ.
Maksudnya:
Umar bin Hafs bin Ghiyath telah menceritakan
kepada kami, bapaku telah menceritakan kepada kami, al-A'masy telah
menceritakan kepada kami, Syaqiq telah menceritakan kepada kami, aku mendengar
Hudzaifah berkata, ketika kami duduk bersama ‘Umar, tiba-tiba beliau bertanya:
“Siapakah daripada kalangan kamu semua yang menghafal hadis Nabi SAW tentang
fitnah?” Kata Huzaifah: “Fitnah (kekurangan dalam melaksanakan kewajipan)
seorang lelaki terhadap keluarga, harta, anak dan jirannya, akan dihapuskan
dengan solat, sedekah dan amar makruf nahi mungkar.” ‘Umar berkata: “Bukan
fitnah itu yang saya maksudkan, akan tetapi yang saya tanyakan ialah fitnah
yang memukul seperti gelombang laut.” Jawab Huzaifah: “Jangan bimbang wahai
Amir al-Mukminin, sesungguhnya antara anda dan fitnah itu ada satu pintu yang
tertutup”. Berkata ‘Umar: “Apakah pintu itu akan dipecahkan atau akan dibuka?”
Jawab Huzaifah: “Bahkan ia akan dipecahkan.” Kata ‘Umar: “Jika demikian dia
tidak akan ditutup lagi buat selama-lamanya.” Jawab Huzaifah: “Ya benar.” Lalu
kami bertanya kepada Huzaifah: “Apakah ‘Umar mengetahui pintu tersebut?” Beliau
menjawab: “Ya, dia mengetahuinya sepertimana pengetahuannya akan ketiadaan hari
esok tanpa terlebih dahulu datangnya malam, hal itu demikian kerana aku mengkhabarkan
kepadanya satu berita yang bukanlah kabur padanya. (kata Syaqiq) kami bimbang
untuk bertanya kepada Huzaifah siapakah pintu tersebut, lalu kami meminta
Masruk untuk bertanya, lalu Masruk bertanya kepada Huzaifah: “Siapakah pintu
tersebut?” Jawab Huzaifah: “Pintu itu adalah ‘Umar.”
Keterangan Hadith:
Hadis ini merupakan pengkhabaran daripada Nabi
SAW akan keadaan akan datang, dimana fitnah akan berlaku, maka baginda SAW
memberi peringatan kepada umat Baginda agar bersegera melakukan amalan soleh
dan jangan melengah-lengahkannya lagi, kerana apabila sampai waktu fitnah
seseorang itu tidak mampu lagi melakukan apa-apa amalan soleh.
Ternyata setelah wafatnya baginda SAW berlaku
banyak fitnah yang menguji ketahanan iman dan keyakinan setiap muslim. Bermula
dari berlakunya kemurtadan di kalangan masyarakat Arab dengan kewafatan
baginda. Namun fitnah ini berjaya ditanggapinya oleh kesemua para sahabat yang
diketuai oleh Khalifah yang pertama, Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq RA. Setelah
api fitnah ini berjaya dipadamkan oleh para sahabat datang pula fitnah yang
berikutnya dan ia berterusan merebak sehingga ke hari ini, iaitulah fitnah yang
bermula dengan pembunuhan khalifah Islam yang ketiga Sayyidina ‘Uthman bin
al-‘Affan RA. Pintu kepada fitnah ini adalah dengan kematian Khalifah yang
kedua, Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab RA.
Fitnah kekacauan dan peperangan ini apabila
berlaku ia akan terus berterusan. Ia merupakan fitnah yang menyesatkan manusia,
termasuk di dalam fitnah kekacauan ini adalah fitnah politik, ideologi, keyakinan
dan pengamalan yang dinyatakan oleh Nabi SAW seseorang itu boleh menjadi
beriman pada pagi hari, namun apabila petang dia menjadi kafir, boleh jadi
seseorang itu beriman pada petang harinya pula, namun pada pagi keesokannya dia
menjadi kafir. Keadaan ini disebabkan seruan kebatilan yang dihadap dan
diajukankan kepadanya sehingga dia tidak dapat membezakan lagi antara kebenaran
dengan kebatilan.
Pengajaran Hadith:
1. Umat Islam harus beriltizam dengan melakukan
amalan soleh merupakan sebab terselamat dari fitnah yang menyesatkan ini. Hal
ini demikian kerana sesiapa yang berpegang teguh dengan agama Allah ketika
dalam keadaan selesa dan selamat, maka ketika kedatangan fitnah ia akan tetap
terselamat. Melakukan amalan soleh adalah dengan berpegang teguh dengan
al-Quran dan al-Sunnah, kerana kedua-duanya merupakan penyelamat dan pelindung
daripada fitnah.
2. Kita hendaklah menjauhkan diri kita daripada
terjebak dengan gejala fitnah duniawi.
Rujukan:
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2009. Fathul Baari
Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama.
Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 17 Halaman 157-179.
No comments:
Post a Comment