Hadith 17:
Kematian Lebih Baik Ketika Berlaku Fitnah
حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ أَبِي
الزِّنَادِ عَنِ الأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم
قَالَ " لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَمُرَّ الرَّجُلُ بِقَبْرِ الرَّجُلِ
فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي مَكَانَهُ ".
Maksudnya:
Ismail telah menceritakan kepada kami, Malik
telah menceritakan kepadaku daripada Abi al-Zinad daripada al-A'raj daripada
Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Hari kiamat tidak akan
terjadi sehingga seseorang melalui kubur orang lain lalu berkata, ‘alangkah
baik sekiranya aku yang berada di tempatya’.”
Keterangan Hadith:
Ibn Battal mengatakan bahawa iri hati terhadap
penghuni kubur dan mengharapkan kematian ketika berlakunya fitnah adalah kerana
seseorang itu khuatir kehilangan agamanya disebabkan kebatilan yang melular.
Begitu juga dengan merebaknya kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku. Ibn
Baththal menambah dengan menyatakan bahawa perkara ini tidak berlaku secara
umum bagi semua manusia tetapi khusus bagi orang-orang yang baik. Hal ini
sedemikian kerana mungkin sahaja sesetengah orang mengharapkan kematian
disebabkan musibah yang menimpanya. Perkara ini sangat ditegah berdasarkan
sabda Rasulullah SAW, “Janganlah seorang di antara kamu mengharapkan kematian
karena musibah yang menimpanya dan apabila dia memang harus mengharapkan,
sebaiknya dia berkata: Ya Allah! Hidupkanlah aku selama kehidupan itu yang
terbaik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu yang terbaik bagiku.”
al-Qurtubi mengatakan di dalam hadith ini
terdapat isyarat mengenai fitnah dan kesulitan yang sangat teruk terjadi
sehingga urusan agama diabaikan. Di mana semua orang sibuk menguruskan urusan
duniawinya sahaja tanpa mengambil berat soal agama. Oleh itu, makruh
mengharapkan kematian apabila berkenaan dengan kemudaratan atau kesempitan
hidup duniawi, tetapi tidak makruh apabila motivasinya kerana takut fitnah
terhadap agama disebabkan kerosakan zaman.
Pengajaran Hadith:
1. Mengharap kepada kematian dibolehkan
sekiranya dia risau terhadap gejala fitnah mengenai agamanya khusunya pada
akhir zaman.
2. Umat Islam mestilah sentiasa bersedia dengan
fitnah yang akan berlaku serta melakukan amalan yang boleh menjadi benteng
kepada fitnah.
Rujukan:
Ibn Hajar Al Asqalani. 2009. Fathul Baari
Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama.
Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 22. Halaman 253-257.
No comments:
Post a Comment