Hadith 14:
Menghindarkan Diri Daripada Fitnah
حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا
مَالِكٌ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي صَعْصَعَةَ عَنْ أَبِيهِ
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صلى الله عليه وسلم " يُوشِكُ أَنْ يَكُونَ خَيْرَ مَالِ الْمُسْلِمِ غَنَمٌ يَتْبَعُ
بِهَا شَعَفَ الْجِبَالِ وَمَوَاقِعَ الْقَطْرِ يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنَ الْفِتَنِ ".
Maksudnya:
Abdullah bin Yusuf telah menceritakan kepada
kami, Malik telah mengkhabarkan kepadaku daripada Abd al-Rahman bin Abdullah
bin Abi Sa’sa’ah daripada bapanya daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa dia berkata,
Rasulullah SAW: “Akan datang kepada manusia satu masa yang mana kambing menjadi
harta terbaik bagi orang muslim. Dia akan mendaki dan menyusuri tebing-tebing
bukit membawa kambing-kambingnya itu semata-mata untuk melarikan dirinya
daripada fitnah”.
Keterangan Hadith:
1. Hadis ini merupakan dalil bagi orang yang
mengasingkan diri kerana risau akan keselamatan agamanya.
2. Para ulama salaf berbeza pendapat mengenai
hukum asal uzlah (mengasingkan diri). Menurut jumhur, berinteraksi sesama
manusia adalah lebih utama kerana mendatangkan faedah-feadah agama seperti
melaksanakan syiar Islam, memperbanyakkan jumlah kaum muslimin dan memberi
pelbagai kebaikan kepada kaum muslimin seperti memberi bantuan dan lain-lain.
Sebahagian lain berpendapat bahawa mengasingkan diri adalah lebih utama kerana
lebih menjamin keselamatan dengan syarat mengetahui apa yang mesti
dilakukan.Imam al-Nawawi berpendapat bahawa seseorang itu perlu berinteraksi
dengan manusia lain yakni tidak mengasingkan diri daripada ketika fitnah
berlaku sekiranya dia yakin tidak akan terjerumus ke dalam kancah fitnah
tersebut.
3. Namun, jika dia tidak mempunyai keyakinan
menghadapinya, maka mengasingkan diri adalah lebih utama.
Pengajaran Hadith:
1. Menjauhkan diri iaitu mengasingkan diri
daripada fitnah digalakkan jika ianya membawa kemaslahatan.
2. Berjemaah hendaklah atas kebenaran iaitu
umat Islam bersatu atas kebenaran yang berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah
yang sahih.
3. Tidak boleh bersatu di atas sesuatu yang
batil atau terkeluar daripada batas-batas Islam.
Rujukan:
(Ibn Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari
Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama.
Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 14. Halaman 133-142.)
No comments:
Post a Comment