SEMOGA ALLAH REDHA Koleksi Hadith-hadith Fitan: May 2014

Saturday, 3 May 2014

Hadith 20:
Perang Di Sekitar Sungai Furat Kerana Merebut Kekayaan

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ - يَعْنِي ابْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْقَارِيَّ - عَنْ سُهَيْلٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَحْسِرَ الْفُرَاتُ عَنْ جَبَلٍ مِنْ ذَهَبٍ يَقْتَتِلُ النَّاسُ عَلَيْهِ فَيُقْتَلُ مِنْ كُلِّ مِائَةٍ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَيَقُولُ كُلُّ رَجُلٍ مِنْهُمْ لَعَلِّي أَكُونُ أَنَا الَّذِي... أَنْجُو " .
)كتاب الفتن وأشراط الساعة, باب لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَحْسِرَ الْفُرَاتُ عَنْ جَبَلٍ مِنْ ذَهَبٍ,٢٨٩٤, صحيح مسلم (

Maksudnya:
Qutaibah bin Said telah menceritakan kepada kami, Ya’qub iaitu Ibn Abd al-Rahman al-Qari telah menceritakan kepada kami, daripada Suhail daripada bapanya daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak berlaku hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, iaitu sebuah sungai yang terdapat di Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung emas. Banyak orang yang terbunuh kerana berebut mendapatkannya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan dari seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata. ‘Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu’.”(HR Muslim)

Keterangan Hadith:
Hadis ini jelas sekali menerangkan kepada kita, di negara Iraq dan sekitarnya akan tersebar peperangan yang disebabkan merebut harta kekayaan yang terdapat di tempat tersebut, banyak yang menjadi korban dan semua yang terlibat bercita-cita hanya dia akan terselamat dari bala tersebut.

Pengajaran Hadith:
1. Mendidik hati agar tidak taksub kepada harta dunia dan sentiasa berdoa agar dihindari daripada fitnah harta.
2. Perpada-pada dalam mencari harta di dunia, ia perlu diseimbangkan dengan amalan ibadah kepada Allah sebagai bekalan di Akhirat.

Rujukan:
Imam al-Hafiz Abi Husain Muslim bin al-Hajjaj. Sahih Muslim. Baitul Afqar Dauliyyah: Riyadh. Kitab 52. Bab 8. No. Hadith 2894. Halaman: 1160.
Abu Ali al-Banjari An-Nadwi. 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman. 2000. Khazanah Banjariah : Kedah. Halaman 69-70.
Hadith 19:
Orang Yang Tidak Suka Untuk Meningkatkan Bilangan Fitnah Dan Kezaliman

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَزِيدَ حَدَّثَنَا حَيْوَةُ وَغَيْرُهُ قَالاَ حَدَّثَنَا أَبُو الأَسْوَدِ. وَقَالَ اللَّيْثُ عَنْ أَبِي الأَسْوَدِ قَالَ : قُطِعَ عَلَى أَهْلِ الْمَدِينَةِ بَعْثٌ فَاكْتُتِبْتُ فِيهِ فَلَقِيتُ عِكْرِمَةَ فَأَخْبَرْتُهُ فَنَهَانِي أَشَدَّ النَّهْىِ ثُمَّ قَالَ أَخْبَرَنِي ابْنُ عَبَّاسٍ أَنَّ أُنَاسًا مِنَ الْمُسْلِمِينَ كَانُوا مَعَ الْمُشْرِكِينَ يُكَثِّرُونَ سَوَادَ الْمُشْرِكِينَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَيَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى فَيُصِيبُ أَحَدَهُمْ فَيَقْتُلُهُ أَوْ يَضْرِبُهُ فَيَقْتُلُهُ. فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى {إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلاَئِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ{

Maksudnya:

Abdullah bin Yazid telah menceritakan kepada kami, Haiwah telah menceritakan kepada kami dan selainnya, keduanya berkata, Abu al-Aswad telah menceritakan kepada kami, al-Laith telah berkata daripada Abi al-Aswad, kemudian Abi al-Aswad berkata: Ketika unit tentera telah ditetapkan untuk penduduk Madinah, aku pun telah mendaftarkan diri di kalangan mereka. Kemudian aku telah bertemu dengan ‘Ikrimah dan apabila aku memaklumkan kepadanya akan tentang hal tersebut, dia telah melarang aku dengan keras dan berkata, “Ibn Abbas telah memberitahuku bahawa terdapat beberapa orang Islam pernah bersama dengan orang-orang Kafir untuk meningkatkan jumlah orang-orang kafir untuk menentang Rasulullah SAW. Maka anak panah pun dilemparkan dan telah terkena kepada salah seorang dari mereka sehingga membunuhnya atau dia memukul sehingga membunuhnya maka Allah SWT telah menurunkan ayat: “ Sesungguhnya orang-orang yang dimatikan oleh para Malaikat dalam keadaan mezalimi diri-diri mereka ”.

Keterangan Hadith:

Ibn Hajar telah mengatakan bahawa bagi orang yang mengambil dari riwayat Ibnu Lahi’ah dengan sanad yang mausul pada perbahasan tafsir surah an-Nisa’ disertai penjelasan hadith. Seterusnya, pendapat lain ada mengatakan pada ayat فَيَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى “anak panah datang maka di panahkan kepadanya” membawa maksud yang terbalik dan maksud yang sebenar adalah “ maka anak panah itu dilemparkan dan ia datang”.Kemudian Ibn Hajar mengatakan mungkin juga huruf “fa” yang kedua adalah sebagai tambahan dan redaksi seperti ini telah disebutkan dalam riwayat Abu Zar dalam surah an-Nisa’, فَيَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى “Maka anak panah datang dan di panahkan kepadanya”.
Maksud dari ayat فَيَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى “Maka anak panah datang dan di panahkan kepadanya” ialah dia telah dibunuh dengan anak panah dan juga pedang. Riwayat ini menyalahkan mereka yang tinggal dari kalangan mereka yang melakukan maksiat secara suka rela dan menyelamatkan orang Islam dari kebinasaan walaupun mereka mampu untuk menghindarkan diri mereka dari perkara maksiat tanpa ada keuzuran. Hal ini seperti kepada orang-orang yang masuk Islam namun orang Kafir dihalangi untuk melakukan hijrah. Kemudian orang Islam telah keluar bersama dengan orang Kafir tetapi niat mereka tidak untuk memerangi umat Islam namun hanya untuk memperbanyakkan bilangan orang Kafir supaya umat Islam melihat dari sudut itu.
Kemudian Ikrimah telah memberikan pandangan beliau bahawa barang siapa yang telah keluar bersama mereka yang hendak memerangi umat Islam maka dia telah berdosa walaupun dia tidak berperang dan tidak pula meniatkannya. Hal ini seperti yang di tegaskan dalam hadith "هم القوم لا يشقى بهم جليسهم" membawa maksud ( Mereka adalah orang-orang yang tidak akan mencelakai kawan duduk mereka) seperti yang telah dijelaskan pada perbahasan tentang kelembutan hati.

Pengajaran Hadith:
1. Sentiasa berpegang teguh dengan akidah supaya dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
2. Memupuk sikap sentiasa berani dan berjihad ke jalan Allah SWT demi menegakkan agama Islam iaitu agama yang benar.
3. Tidak bersikap berpura-pura dan sentiasa jujur serta amanah dalam menegakkan agama Allah SWT.

Rujukan:
(Ibn Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 12. Halaman ( 123-124)
Hadith 18:
Perkara-perkara Yang Diingkari

حَدَّثَنَا أَبُو النُّعْمَانِ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ الْجَعْدِ أَبِي عُثْمَانَ حَدَّثَنِي أَبُو رَجَاءٍ الْعُطَارِدِيُّ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ شِبْرًا فَمَاتَ إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksudnya:
Abu Nu’man telah menceritakan kepada kami, Hammad bin Zaid telah menceritakan kepada kami daripada al-Ja’d bin Abi Uyhman, Abu Raja’ al-‘Uthardi telah menceritakan kepadaku, dia berkata, aku mendengar Ibn Abbas daripada Nabi SAW bersabda: Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas ra bahawa Nabi Saw pernah bersabda: "Sesiapa yang melihat sesuatu daripada pemimpinnya yang tidak disukainya, hendaklah dia bersabar, kerana orang yang memisahkan diri dengan pemimpinnya meskipun sejengkal, maka dia akan mati dalam jahiliyah".

Keterangan Hadith:

Ketaatan kepada pemimpin adalah salah satu kewajipan dalam agama, bahkan agama tidak akan tegak tanpanya. Hal ini kerana suatu kemaslahatan umat tidak akan dicapai melainkan umat masyarakat tersebut bersatu di bawah satu jemaah dan satu kepimpinan yang adil dan saksama.
Imam Bukhari berkata: “Aku telah berjumpa dengan 1000 lebih para ulama di Hijjaz, Mekah, Madinah, Kufah, Bashraah, Wasith, Baghdad, Syam dan Mesir. Aku berjumpa dengan mereka berulang-ulang kali dari satu generasi ke generasi lain. Aku tidak pernah melihat seorangpun daripada mereka yang berbeza pendapat dalam sesuatu masalah.” Berdasarkan sabda Nabi SAW: “Ada 3 perkara di mana hati seseorang muslim tidak akan dengki terhadapnya iaitu mengikhlaskan amalan kerana Allah, mentaati perintah dan komitmen dengan al-jamaah kerana doa kepada pemerintah akan berkaitan juga dengan rakyatnya.” Selain itu, al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Para ulama telah bersepakat atas kewajipan taat kepada pemimpin yang menang (dalam merebut kekuasaan) dan wajib jihad bersamanya. Taat kepadanya lebih baik daripada membangkang kepadanya kerana hal tersebut akan mencegah pertumpahan darah dan menjamin kesejahteraan rakyat”.

Pengajaran Hadith:
1. Wajib ke atas kita untuk mentaati pemerintah yang melaksanakan syariat Islam sebenar-benarnya.
2. Elakkan diri daripada terjerumus ke dalam kancah perpecahan dan perselisihan.


(Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 2. Halaman 9-23.)
Hadith 17:
Kematian Lebih Baik Ketika Berlaku Fitnah

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنِ الأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَمُرَّ الرَّجُلُ بِقَبْرِ الرَّجُلِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي مَكَانَهُ ".

Maksudnya:
Ismail telah menceritakan kepada kami, Malik telah menceritakan kepadaku daripada Abi al-Zinad daripada al-A'raj daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga seseorang melalui kubur orang lain lalu berkata, ‘alangkah baik sekiranya aku yang berada di tempatya’.”

Keterangan Hadith:
Ibn Battal mengatakan bahawa iri hati terhadap penghuni kubur dan mengharapkan kematian ketika berlakunya fitnah adalah kerana seseorang itu khuatir kehilangan agamanya disebabkan kebatilan yang melular. Begitu juga dengan merebaknya kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku. Ibn Baththal menambah dengan menyatakan bahawa perkara ini tidak berlaku secara umum bagi semua manusia tetapi khusus bagi orang-orang yang baik. Hal ini sedemikian kerana mungkin sahaja sesetengah orang mengharapkan kematian disebabkan musibah yang menimpanya. Perkara ini sangat ditegah berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Janganlah seorang di antara kamu mengharapkan kematian karena musibah yang menimpanya dan apabila dia memang harus mengharapkan, sebaiknya dia berkata: Ya Allah! Hidupkanlah aku selama kehidupan itu yang terbaik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu yang terbaik bagiku.”
al-Qurtubi mengatakan di dalam hadith ini terdapat isyarat mengenai fitnah dan kesulitan yang sangat teruk terjadi sehingga urusan agama diabaikan. Di mana semua orang sibuk menguruskan urusan duniawinya sahaja tanpa mengambil berat soal agama. Oleh itu, makruh mengharapkan kematian apabila berkenaan dengan kemudaratan atau kesempitan hidup duniawi, tetapi tidak makruh apabila motivasinya kerana takut fitnah terhadap agama disebabkan kerosakan zaman.

Pengajaran Hadith:
1. Mengharap kepada kematian dibolehkan sekiranya dia risau terhadap gejala fitnah mengenai agamanya khusunya pada akhir zaman.
2. Umat Islam mestilah sentiasa bersedia dengan fitnah yang akan berlaku serta melakukan amalan yang boleh menjadi benteng kepada fitnah.

Rujukan:

Ibn Hajar Al Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 22. Halaman 253-257.
Hadith 16:
Fitnah Yang Bergolak Seperti Gelombang Di Lautan

حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ حَفْصِ بْنِ غِيَاثٍ حَدَّثَنَا أَبِي حَدَّثَنَا الأَعْمَشُ حَدَّثَنَا شَقِيقٌ سَمِعْتُ حُذَيْفَةَ يَقُولُ بَيْنَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ عُمَرَ قَالَ أَيُّكُمْ يَحْفَظُ قَوْلَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي الْفِتْنَةِ. قَالَ " فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلاَةُ وَالصَّدَقَةُ وَالأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْىُ عَنِ الْمُنْكَرِ ". قَالَ لَيْسَ عَنْ هَذَا أَسْأَلُكَ وَلَكِنِ الَّتِي تَمُوجُ كَمَوْجِ الْبَحْرِ. قَالَ لَيْسَ عَلَيْكَ مِنْهَا بَأْسٌ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ إِنَّ بَيْنَكَ وَبَيْنَهَا بَابًا مُغْلَقًا. قَالَ عُمَرُ أَيُكْسَرُ الْبَابُ أَمْ يُفْتَحُ قَالَ بَلْ يُكْسَرُ. قَالَ عُمَرُ إِذًا لاَ يُغْلَقَ أَبَدًا. قُلْتُ أَجَلْ. قُلْنَا لِحُذَيْفَةَ أَكَانَ عُمَرُ يَعْلَمُ الْبَابَ قَالَ نَعَمْ كَمَا أَعْلَمُ أَنَّ دُونَ غَدٍ لَيْلَةً وَذَلِكَ أَنِّي حَدَّثْتُهُ حَدِيثًا لَيْسَ بِالأَغَالِيطِ. فَهِبْنَا أَنْ نَسْأَلَهُ مَنِ الْبَابُ فَأَمَرْنَا مَسْرُوقًا فَسَأَلَهُ فَقَالَ مَنِ الْبَابُ قَالَ عُمَرُ.

Maksudnya:
Umar bin Hafs bin Ghiyath telah menceritakan kepada kami, bapaku telah menceritakan kepada kami, al-A'masy telah menceritakan kepada kami, Syaqiq telah menceritakan kepada kami, aku mendengar Hudzaifah berkata, ketika kami duduk bersama ‘Umar, tiba-tiba beliau bertanya: “Siapakah daripada kalangan kamu semua yang menghafal hadis Nabi SAW tentang fitnah?” Kata Huzaifah: “Fitnah (kekurangan dalam melaksanakan kewajipan) seorang lelaki terhadap keluarga, harta, anak dan jirannya, akan dihapuskan dengan solat, sedekah dan amar makruf nahi mungkar.” ‘Umar berkata: “Bukan fitnah itu yang saya maksudkan, akan tetapi yang saya tanyakan ialah fitnah yang memukul seperti gelombang laut.” Jawab Huzaifah: “Jangan bimbang wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya antara anda dan fitnah itu ada satu pintu yang tertutup”. Berkata ‘Umar: “Apakah pintu itu akan dipecahkan atau akan dibuka?” Jawab Huzaifah: “Bahkan ia akan dipecahkan.” Kata ‘Umar: “Jika demikian dia tidak akan ditutup lagi buat selama-lamanya.” Jawab Huzaifah: “Ya benar.” Lalu kami bertanya kepada Huzaifah: “Apakah ‘Umar mengetahui pintu tersebut?” Beliau menjawab: “Ya, dia mengetahuinya sepertimana pengetahuannya akan ketiadaan hari esok tanpa terlebih dahulu datangnya malam, hal itu demikian kerana aku mengkhabarkan kepadanya satu berita yang bukanlah kabur padanya. (kata Syaqiq) kami bimbang untuk bertanya kepada Huzaifah siapakah pintu tersebut, lalu kami meminta Masruk untuk bertanya, lalu Masruk bertanya kepada Huzaifah: “Siapakah pintu tersebut?” Jawab Huzaifah: “Pintu itu adalah ‘Umar.”
Keterangan Hadith:
Hadis ini merupakan pengkhabaran daripada Nabi SAW akan keadaan akan datang, dimana fitnah akan berlaku, maka baginda SAW memberi peringatan kepada umat Baginda agar bersegera melakukan amalan soleh dan jangan melengah-lengahkannya lagi, kerana apabila sampai waktu fitnah seseorang itu tidak mampu lagi melakukan apa-apa amalan soleh.
Ternyata setelah wafatnya baginda SAW berlaku banyak fitnah yang menguji ketahanan iman dan keyakinan setiap muslim. Bermula dari berlakunya kemurtadan di kalangan masyarakat Arab dengan kewafatan baginda. Namun fitnah ini berjaya ditanggapinya oleh kesemua para sahabat yang diketuai oleh Khalifah yang pertama, Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq RA. Setelah api fitnah ini berjaya dipadamkan oleh para sahabat datang pula fitnah yang berikutnya dan ia berterusan merebak sehingga ke hari ini, iaitulah fitnah yang bermula dengan pembunuhan khalifah Islam yang ketiga Sayyidina ‘Uthman bin al-‘Affan RA. Pintu kepada fitnah ini adalah dengan kematian Khalifah yang kedua, Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab RA.
Fitnah kekacauan dan peperangan ini apabila berlaku ia akan terus berterusan. Ia merupakan fitnah yang menyesatkan manusia, termasuk di dalam fitnah kekacauan ini adalah fitnah politik, ideologi, keyakinan dan pengamalan yang dinyatakan oleh Nabi SAW seseorang itu boleh menjadi beriman pada pagi hari, namun apabila petang dia menjadi kafir, boleh jadi seseorang itu beriman pada petang harinya pula, namun pada pagi keesokannya dia menjadi kafir. Keadaan ini disebabkan seruan kebatilan yang dihadap dan diajukankan kepadanya sehingga dia tidak dapat membezakan lagi antara kebenaran dengan kebatilan.
Pengajaran Hadith:
1. Umat Islam harus beriltizam dengan melakukan amalan soleh merupakan sebab terselamat dari fitnah yang menyesatkan ini. Hal ini demikian kerana sesiapa yang berpegang teguh dengan agama Allah ketika dalam keadaan selesa dan selamat, maka ketika kedatangan fitnah ia akan tetap terselamat. Melakukan amalan soleh adalah dengan berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah, kerana kedua-duanya merupakan penyelamat dan pelindung daripada fitnah.
2. Kita hendaklah menjauhkan diri kita daripada terjebak dengan gejala fitnah duniawi.

Rujukan:

Ibnu Hajar al-Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 17 Halaman 157-179.
Hadith 15:
Kemunculan Fitnah

حَدَّثَنَا عَيَّاشُ بْنُ الْوَلِيدِ أَخْبَرَنَا عَبْدُ الأَعْلَى حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ سَعِيدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ يَتَقَارَبُ الزَّمَانُ وَيَنْقُصُ الْعَمَلُ وَيُلْقَى الشُّحُّ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ وَيَكْثُرُ الْهَرْجُ ‏"‏‏.‏ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّمَ هُوَ‏.‏ قَالَ ‏"‏ الْقَتْلُ الْقَتْلُ ‏"‏‏.‏
 وَقَالَ شُعَيْبٌ وَيُونُسُ وَاللَّيْثُ وَابْنُ أَخِي الزُّهْرِيِّ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ حُمَيْدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم‏.
)كتاب الفتن, باب ظُهُورِ الْفِتَنِ, 7061, حديث صحيح(

Maksudnya:
‘Ayyash bin al-Walid telah menceritakan kepada kami, Abd al-A’la telah mengkhabarkan kepada kami, Ma’mar telah menceritakan kepada kami daripada al-Zuhri daripada Said dari Abu Hurairah daripada Nabi SAW, baginda bersabda, “Waktu berdekatan, amalan semakin berkurang, kekikiran semakin dipraktikkan, munculnya fitnah dan banyak terjadi harj.” Mereka yakni para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan harj itu?” Baginda bersabda, “Pembunuhan pembunuhan”.
Syu’aib, Yunus, al-Laith dan putra saudara al-Zuhri berkata, Daripada Al-Zuhri, daripada Humaid daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW.
(Kitab Fitan, Bab Kemunculan Fitnah, 7061, Shahih Bukhari)

Keterangan Hadith :
Pada akhir zaman ini, banyak terjadinya fitnah yang mampu merosakkan institusi masyarakat dan negara itu sendiri. Di antara faktor yang menyebabkan berlakunya fitnah adalah seperti :
Terlalu taksub atau mengikut dorongan perasaan iri hati dan dengki terhadap orang lain, ditambah lagi dengan kurangnya ilmu dan iman di dalam diri, menyebabkan perasaan ini sukar untuk dibendung.
Ingin mendapatkan kepercayaan dan kuasa orang terhadap diri dan dakwaannya.
Dalam hadith di atas, ada menyatakan bahawa di akhir zaman ini akan munculnya fitnah dan banyak terjadinya pembunuhan. Ini kerana perbuatan menabur fitnah sebenarnya lebih kejam dari pembunuhan , kerana kesan kerosakannya adalah lebih teruk. Jika dengan membunuh, mangsanya mungkin seorang, tetapi dengan fitnah mungkin mengakibatkan ramai orang dan kesannya akan berlanjutan sehingga bertahun-tahun.
Disebabkan demikian, umat Islam sewajarnya tidak menerima apa-apa berita itu secara membuta tuli sahaja. Malah ia perlu diselidiki, adakah ia khabar yang benar atau palsu lebih-lebih lagi berita yang menyentuh kehormatan seseorang.

Pengajaran Hadith:
Dosa membuat fitnah adalah dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan di ampunkan oleh Allah memlainkan orang yang difitnah itu yang memberikan keampunan.
Perbuatan fitnah adalah perbuatan mengadu-domba yang mudah mengakibatkan permusuhan diantara dua pihak yang dikaitkan dengan sesuatu fitnah.
Kita perlu sentiasa memperbaiki amalan ke arah kebaikan.

Rujukan:

Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari Bi Sharh Shahih Al-Bukhari. Juzuk 13. Dar Makrifah: Beirut. Kitab 92. Bab 5. Halaman 13-19.
Hadith 14:
Menghindarkan Diri Daripada Fitnah

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي صَعْصَعَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " يُوشِكُ أَنْ يَكُونَ خَيْرَ مَالِ الْمُسْلِمِ غَنَمٌ يَتْبَعُ بِهَا شَعَفَ الْجِبَالِ وَمَوَاقِعَ الْقَطْرِ يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنَ الْفِتَنِ ".

Maksudnya:
Abdullah bin Yusuf telah menceritakan kepada kami, Malik telah mengkhabarkan kepadaku daripada Abd al-Rahman bin Abdullah bin Abi Sa’sa’ah daripada bapanya daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa dia berkata, Rasulullah SAW: “Akan datang kepada manusia satu masa yang mana kambing menjadi harta terbaik bagi orang muslim. Dia akan mendaki dan menyusuri tebing-tebing bukit membawa kambing-kambingnya itu semata-mata untuk melarikan dirinya daripada fitnah”.

Keterangan Hadith:
1. Hadis ini merupakan dalil bagi orang yang mengasingkan diri kerana risau akan keselamatan agamanya.
2. Para ulama salaf berbeza pendapat mengenai hukum asal uzlah (mengasingkan diri). Menurut jumhur, berinteraksi sesama manusia adalah lebih utama kerana mendatangkan faedah-feadah agama seperti melaksanakan syiar Islam, memperbanyakkan jumlah kaum muslimin dan memberi pelbagai kebaikan kepada kaum muslimin seperti memberi bantuan dan lain-lain. Sebahagian lain berpendapat bahawa mengasingkan diri adalah lebih utama kerana lebih menjamin keselamatan dengan syarat mengetahui apa yang mesti dilakukan.Imam al-Nawawi berpendapat bahawa seseorang itu perlu berinteraksi dengan manusia lain yakni tidak mengasingkan diri daripada ketika fitnah berlaku sekiranya dia yakin tidak akan terjerumus ke dalam kancah fitnah tersebut.
3. Namun, jika dia tidak mempunyai keyakinan menghadapinya, maka mengasingkan diri adalah lebih utama.

Pengajaran Hadith:
1. Menjauhkan diri iaitu mengasingkan diri daripada fitnah digalakkan jika ianya membawa kemaslahatan.
2. Berjemaah hendaklah atas kebenaran iaitu umat Islam bersatu atas kebenaran yang berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.
3. Tidak boleh bersatu di atas sesuatu yang batil atau terkeluar daripada batas-batas Islam.

Rujukan:

(Ibn Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 14. Halaman 133-142.)
Hadith 13:
Fitnah Orang Yang Duduk Lebih Baik Daripada Orang Yang Berdiri

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ. قَالَ إِبْرَاهِيمُ وَحَدَّثَنِي صَالِحُ بْنُ كَيْسَانَ عَنِ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : سَتَكُونُ فِتَنٌ الْقَاعِدُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْقَائِمِ وَالْقَائِمُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْمَاشِي وَالْمَاشِي فِيهَا خَيْرٌ مِنَ السَّاعِي مَنْ تَشَرَّفَ لَهَا تَسْتَشْرِفْهُ فَمَنْ وَجَدَ فِيهَا مَلْجَأً أَوْ مَعَاذًا فَلْيَعُذْ بِه
Maksudnya:
Muhammad bin Ubaidullah telah menceritakan kepada kami, Ibrahim bin Sa’d telah menceritakan kepada kami daripada bapanya daripada Abu Salamah bin Abd al-Rahman daripada Abu Hurairah (ح). Ibrahim berkata, Salih bin Kisan telah menceritakan kepada kami daripada Ibn Shihab daripada Sa’id bin al-Musayyab daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Akan ada fitnah-fitnah, yang mana orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang yang berlari dalam fitnah tersebut. Sesiapa berusaha menghadapi fitnah itu, maka fitnah itu akan mempengaruhinya. Sesiapa mendapatkan tempat berlindung, maka dia sebaiknya berlindung di tempat tersebut”.

Keterangan Hadith Dan Pendapat Para Ulama
Ibn al-Tin menyebutkan daripada al-Dawudi bahawa maksud hadis tersebut ialah ditujukan kepada semua individu yang terlibat dalam perkara fitnah itu. Di mana sebahagian daripada mereka lebih berat ( keterlibatannya ) berbanding dari yang lain. Individu yang paling tinggi tahapnya adalah orang yang berlari di mana dia menjadi penyebab fitnah semakin berleluasa. Kemudian orang yang berjalan yang mana dia melakukan sebab-sebab fitnah dan diikuti kawan-kawan mereka yang memperhatikannya iaitu orang yang duduk. Seterusnya orang yang menjauhi fitnah dan tidak terlibat dengan fitnah iaitu orang yang terbaring dan terjaga. Akhir sekali adalah orang yang tidak ada sangkut paut dengan fitnah sedikitpun namun dia redha, iaitu orang yang tidur. Maksud kelebihan pada kebaikan ini adalah orang yang lebih sedikit keburukannya berbanding orang yang di atasnya sesuai perinciaan tersebut.
Al-Tabari telah mengatakan bahawa para ulama mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini. Terdapat sebahagian yang memahami secara umum iaitu mereka yang tidak terlibat dalam peperangan antara kaum Muslimin dengan secara mutlak. Mereka adalah seperti Sa’d, Ibn Umar, Muhammad bin Maslamah, Abu Bakrah dan lain-lain dimana mereka berpegang kepada isi kandungan hadith tersebut.
Selain itu, hadith ini juga membahaskan apabila terdapat sekelompok kumpulan yang membangkang terhadap imam (pemimpin) dengan tidak menunaikan kewajipan, lalu berlakunya peperangan maka wajib pemimpin itu memerangi kelompok tersebut. Terdapat pendapat lain yang mengatakan sekiranya berlaku peperangan antara kaum muslimin di mana tidak ada imam bagi jamaah, maka peperangan ketika itu dilarang.
Al-Tabari telah mengatakan bahawa pendapat yang benar bagi maksud fitnah ialah dugaan, sementara mengingkari kemungkaran adalah wajib bagi yang mampu melakukannya. Barangsiapa menolong pihak yang benar bermaksud dia telah melakukan tindakan yang betul, dan barangsiapa yang menolong pihak yang salah bermaksud dia telah melakukan tindakan yang salah. Sekiranya kita tidak mengetahui pihak yang benar atau salah, maka sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Nabi SAW yakni tidak melibatkan diri dalam masalah tersebut.
Pendapat lain mengatakan bahawa hadith-hadith yang melarang perbuatan tersebut merupakan larangan khusus untuk umat akhir zaman kerana peperangan ketika itu hanya untuk mendapatkan kekuasaan.

Pengajaran Hadith:
1. Sentiasa memupuk sikap berwaspada dan berhati-hati dalam diri sendiri agar terhindar dari sebarang fitnah.
2. Sentiasa bijak dalam membuat keputusan iaitu menyebelahi pihak yang benar kepada perkara yang benar dan tepat dan tidak akan menyebelahi pihak yang tidak benar kepada perkara yang tidak benar.
3. Tidak mudah terpengaruh dan berburuk sangka kepada perkara-perkara yang membawa kepada unsur-unsur kekeliruan.

Rujukan:

Ibn Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 9. Halaman 94, 97, 99 & 100.
Hadith 12:
Fitnah Muncul Dari Arah Timur ( Masyriq )

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ  حَدَّثَنَا لَيْثٌ  عَنْ نَافِعٍ  عَنِ ابْنِ عُمَر رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ " وَهُوَ مُسْتَقْبِلٌ الْمَشْرِقَ يَقُولُ : أَلَا إِنَّ الْفِتْنَةَ هَا هُنَا مِنْ حَيْثُ يَطْلُعُ قَرْنُ الشَّيْطَانِ ".

Maksudnya:
Qutaibah bin Said telah menceritakan kepada kami, al-Laith telah menceritakan kepada kami daripada Nafi’ daripada Ibn Umar r.a, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda sambil menghadap ke Timur (Masyriq) kemudian bersabda: “Fitnah muncul dari arah ini, dari tempat keluarnya tanduk syaitan”.

(Sumber: Sahih Bukhari, Kitab Fitan, Bab Fitnah Muncul dari Arah Timur ( Masyriq ), No hadith: 6564)

Keterangan Hadith:
Hadith ini menjelaskan bahawa fitnah muncul dari arah timur, ini dapat dibuktikan dengan pendapat oleh al-Muhallab, beliau mengatakan bahawa: “Nabi Muhammad SAW tidak mendoakan untuk penduduk timur tujuannya adalah untuk melemahkan mereka daripada keburukan yang akan terjadi dari arah mereka ini disebabkan syaitan menguasainya dengan menyebarkan fitnah”. Di samping itu, Ibn Hajar rahimahullah berkata: “ Pada saat itu penduduk timur ( Masyriq ) adalah orang-orang kafir maka disebabkan itu Nabi Muhammad SAW memberitahu bahawa fitnah muncul dari arah tersebut dan terjadi seperti yang Baginda SAW khabarkan. Fitnah pertama muncul dari arah timur yang menjadi sebab perpecahan antara kaum Muslimin. Tentu sahaja hal ini termasuk perkara yang disukai syaitan serta menggembirakannya. Begitu juga, bid’ah-bid’ah muncul dari arah tersebut”.

Pengajaran Hadith:
1. Munculnya kaum Tatar pada abad ke tujuh belas Hijriyyah dari arah timur. Dengan sebab tangan-tangan merekalah terjadi banyak penghancuran, pembunuhan sebagaimana yang telah dimuatkan dalam buku- buku sejarah.
2. Sehingga saat ini sentiasa timur menjadi sumber fitnah, bid’ah, khurafat, dan atheisme. Fahaman komunis yang tidak mengakui adanya tuhan berpusat di negara Rusia dan Cina, keduanya ada di arah timur, dan datangnya Dajjal serta Yakjuj dan Makjuj dari arah timur. Hanya kepada Allah kita memohon perlindungan dari segala fitnah yang nampak secara zahir dan tersembunyi.
3. Sebahagian fitnah merupakan tanda-tanda kiamat yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW seperti peristiwa Siffin dan juga munculnya kaum Khawarij.

Rujukan:
( Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 16. Halaman 149-157).
Hadith 11:

Yakjuj Dan Makjuj

حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ ح وَحَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ حَدَّثَنِي أَخِي عَنْ سُلَيْمَانَ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي عَتِيقٍ عَنِ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ أَنَّ زَيْنَبَ ابْنَةَ أَبِي سَلَمَةَ حَدَّثَتْهُ عَنْ أُمِّ حَبِيبَةَ بِنْتِ أَبِي سُفْيَانَ عَنْ زَيْنَبَ ابْنَةِ جَحْشٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمًا فَزِعًا يَقُولُ " لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ ". وَحَلَّقَ بِإِصْبَعَيْهِ الإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا. قَالَتْ زَيْنَبُ ابْنَةُ جَحْشٍ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ قَالَ " نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخُبْثُ ".

Maksudnya:
Abu al-Yaman telah menceritakan kepada kami, Shu’aib telah mengkhabarkan kepada kami daripada al-Zuhri, ح, Ismail telah menceritakan kepada kami, saudaraku telah menceritakan kepadaku daripada Sulaiman daripada Muhammad bin Abi Atiq daripada Ibn Shihab daripada Urwah bin Zubair bahawa Zainab anak perempuan Abi Salamah daripada Ummu Habibah binti Abi Sufyan daripada Ummul Mu'minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW), bahawa Rasulullah SAW (Pada suatu hari) masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda: “La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjuj dan Makjuj seperti ini" dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Aku (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan dikalangan kami masih ada orang-orang yang saleh?" Lalu Nabi SAW bersabda: "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak". (Riwayat al-Bukhari)

(Kitab Fitan, Bab Ya’jud Dan Ma’jud, 7135, Shahih)

Keterangan Hadith:
Hadis di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari kiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.
Sebagaimana Ibnu Al Arabi berkata, “Di dalamnya terdapat penjelasan bahawa orang yang baik akan binasa seiring dengan binasanya orang jahat jika orang yang baik itu tidak merubah kejahatan. Begitu pula orang yang baik telah berusaha merubahnya namun tidak memberi sebarang manfaat, mereka tetap dengan perbuatan buruknya. Kejahatan semakin merebak sehingga banyak berlaku kerosakkan. Maka saat itu akan dibinasakan kesemuanya sekali.
Oleh itu, segala macam kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.
Dalam hadis di atas, walaupun disebutkan secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita saw. sendiri adalah dari kalangan mereka, dan yang menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa yang lain . Begitu pula halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju-mundurnya. Umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju-mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain daripada itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab. Kemudian Yakjuj dan Makjuj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam as.) yang dahulunya banyak membuat kerosakan di permukaan bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar, sehinggalah hampir tibanya hari kiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa ini dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan dipermukaan bumi ini. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat.

Pengajaran hadith:
Tembok Zulqarnain berkait rapat dengan asal-usul dan identiti bangsa Yakuj wa Ma’Kjuj . Daripada Ibn Abbas r.a kepada Ibn Khaldun sehinggalah ulama mutakhir , mereka seolah sepakat tembok Zulqarnain terletak di pergunungan Caucasus. Apabila tiba ketentuan Allah SWT , sebagaimana yang Allah SWT janjikan , tembok itu akan hancur , maka Yakjuj wa Makjuj akan muncul dan akan turun “dari seluruh tempat yang tinggi”. Oleh itu, perkara-perkara berkaitan peristiwa akhir zaman ini wajib di imani oleh setiap muslim dan tidak boleh disanggah sama sekali tentang kebenarannya.Menjadi satu kepastian kaum Ya’juj wa Ma’juj akan muncul di akhir zaman sebelum terjadinya Hari Kiamat. Ia menjadi salah satu dari tanda-tanda besar berlakunya Kiamat. Di dalam hadis Rasulullah s.a.w ada menyebut, apabila Ya’juj wa Ma’juj muncul , mereka melalui Tasik Tabariah dan mereka meminum airnya sehingga kering. Justeru, kita perlu beramal ibadah dengan sebenar-benarnya seperti yang disuruh Allah SWT melalui teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini kerana, ia adalah perkara asas dan umum yang mesti kita lakukan, agar iman menjadi mantap.

Rujukan:

(Ibn Hajar Al Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab Al-Fitan. Bab 28. Halaman 363-379.)
Hadith 10:
PengKhabaran Rasulullah Tentang al-Fitan

حدثنا أبو اليمان أخبرنا شعيب عن الزهري (ح) وحدثنا إسماعيل حدثني أخي عن سليمان عن محمد بن أبي عتيق عن ابن شهاب عن هند بنت الحارث الفراسية أن أم سلمة زوج النبي صلى الله عليه وسلم قالت: استيقظ رسول الله صلى الله عليه وسلم ليلة فزعا يقول ( سبحان الله ماذا أنزل الله من الخزائن وماذا أنزل من القتن من يوقظ صواحب الحجرات – يريد أزواجه لكي يصلين- رب كاسية في الدنيا عارية في الأخرة ).

Maksudnya:
Abu al-Yaman telah menceritakan kepada kami, Shu’aib telah mengkhabarkan kepada kami, ح, Ismail telah menceritakan kepada kami, saudaraku telah menceritakan kepadaku daripada Sulaiman daripada Muhammad bin Abi Atiq daripada Ibn Shihab daripada Hindun binti al-Harith al-Firasiyyah, bahawa Ummu Salamah isteri Nabi SAW berkata, Rasulullah SAW telah bangun pada waktu malam dengan mengejut dan bersabda: “Apa yang Allah turunkan daripada harta-harta dan apa yang Allah turunkan daripada fitnah? Siapakah yang boleh menolong untuk mengejutkan puan-puan ( Isteri-isteri ) empunya bilik supaya mereka solat. Boleh jadi orang yang memakai pakaian di dunia tidak akan berpakaian di akhirat”.

(BUKHARI. KITAB ILMU. BAB ILMU DAN NASIHAT DI MALAM HARI. NO HADITH 6658)

Keterangan Hadith :
Maksud Imam Bukhari tentang bab mengajarkan ilmu di malam hari adalah menjelaskan bahawa larangan bercengkerama setelah isyak’ adalah khusus dalam masalah yang tidak ada unsur kebaikannya. سبحان الله ماذا. Kata istifham (pertanyaan) dalam kalimah ini menggambarkan rasa takjub dan pengagungan. أنزل (Diturunkan). Maksudnya, bahawa para malaikat telah turun untuk memberitahukan tentang perkara-perkara yang telah ditetapkan, atau Nabi S.a.w bermimpi telah diturunkan wahyu kepada baginda mengenai bencana dan fitnah yang akan terjadi setelah meninggalnya.صواحبات الحجر. Maksudnya, rumah-rumah para isteri Nabi s.a.w . Dikhususkannya mereka untuk dibangunkan, adalah kerana pada saat itu mereka hadir atau juga hal ini termasuk “Mulailah dari diri anda sendiri kemudian baru keluarga anda”.

Pengajaran hadith :
1). Seorang suami disarankan supaya membangunkan isteri dan ahli keluarganya di malam hari untuk menunaikan ibadah terlebih lagi tatkala terjadi/muncul tanda-tanda kebesaran Allah.
2). Anjuran untuk bersegera melakukan solat tatkala merasa takut datangnya keburukan, demikian pula kebiasaan Nabi s.a.w kalau sedang merasa tertekan akibat suatu perkara maka beliau segera menunaikan solat.
3). Boleh mengucapkan tasbih (subhanallah) ketika menyaksikan sesuatu yang mengerikan (maksudnya turunnya fitnah).

Rujukan:

Ibn Hajar al-Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari. Penterjemah: Gazirah Abdi Ummah. Cet. 9. Jil. 1. Jakarta: Pustaka Azzam. Hlm 402-403.
Hadith 9:

Al-Haudh

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِاللَّهِ حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ السَّرِيِّ حَدَّثَنَا نَافِعُ بْنُ عُمَرَ عَنِ ابْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ قَالَ قَالَتْ أَسْمَاءُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَنَا عَلَى حَوْضِي أَنْتَظِرُ مَنْ يَرِدُ عَلَيَّ فَيُؤْخَذُ بِنَاسٍ مِنْ دُونِي فَأَقُولُ أُمَّتِي فَيُقَالُ لا تَدْرِي مَشَوْا عَلَى الْقَهْقَرَى قَالَ ابْنُ أَبِي مُلَيْكَةَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ أَنْ نَرْجِعَ عَلَى أَعْقَابِنَا أَوْ نُفْتَنَ
Maksudnya:
 Ali bin Abdullah telah menceritakan kepada kami, Bishr bin al-Sari telah menceritakan kepada kami, Nafi’ bin Umar telah menceritakan kepada kami daripada Ibn Abi Mulaikah, dia berkata, Asma’ berkata daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: “Aku berada di Haudh iaitu telagaku menunggu orang-orang yang datang kepadaku, lalu diambil beberapa orang selain umatku, maka aku berkata, “Umatku.” Maka ada yang mengatakan, “Engkau tidak tahu mereka telah berjalan mundur ke belakang”

Keterangan Hadith:
Secara etimologi, al-Haudh adalah tempat terkumpulnya air dalam jumlah yang banyak, iaitu telaga. Adapun makna al-Haudh secara syar’i adalah sebuah telaga di Mahsyar, yang airnya bersumber dari sungai al-Kauthar yang dikurniakan kepada Nabi. Al-Syaikh Hafiz bin Ahmad al-Hakami berkata, “Sungguh, terdapat dalil tentang penyebutan al-Haudh, iaitu tafsiran al-Kauthar dengan makna al-Haudh, keberadaan dan sifat-sifatnya, dari sanad-sanad para sahabat dari Nabi , iaitu hadith-hadith yang masyhur dengan sanad-sanad yang banyak bahkan sampai taraf mutawatir. Ibn Hajar al-Asqalani juga mengatakan riwayat hadith ini dijumpai dalam kitab sahih al-Bukhari melainkan pada bab ini. Keadaan orang-orang yang akan datang dan minum dari telaga Nabi SAW adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya iaitu orang yang mengikuti syariat baginda. Adapun orang yang enggan dan sombong untuk mengikuti syariat yang dibawa oleh baginda, nescaya akan diusir dari telaga Nabi SAW.

Pengajaran Hadith:
1. Kita mesti berpegang teguh kepada kitab al-Quran dan sunnah Nabi SAW serta istiqamah dengannya, menjauhi semua amalan bidaah dan dosa-dosa besar agar mendapat syafaat Nabi SAW kelak.
2. Sesungguhnya wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Rujukan:
(Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 1. Halaman 4-8)
Hadith 8:
Fitnah yang Mengenai Semua Rumah

حدثنا الحميدي حدثنا الوليد بن مسلم حدثنا عبد الله بن العلاء بن زبر قال: سمعت بسر بن عبيد الله أنه سمع أبا إدريس قال: سمعت عوف بن مالك قال: أتيت النبي صلى الله عليه وسلم في غزوة تبوك- وهو في قبة من أدم- فقال: اعدد ستا يدي الساعة: موتي ، ثم فتح بيت المقدس، ثم موتان بأخذ فيكم كقعاص الغنم، ثم استفاضة المال حتى يعطى الرجل مائة دينار فيظل ساخطا، ثم فتنة لا يبقى بيت من العرب إلا دخلته، ثم هدنة تكون بينكم وبين بني الأصفر فيغدرون، فيأتونكم تحت ثمانين غاية تحت كل غاية اثنا عشر ألفا

Maksudnya:
Al-Hamidi telah menceritakan kepada kami, al-Walid bin Muslim telah menceritakan kepada kami, Abdullah bin al-Ala’ bin Zubir telah menceritakan kepada kami, dia berkata, aku mendengar Basar bin Ubaidullah bahawa dia mendengar Abu Idris berkata, aku mendengar Auf bin Malik berkata: Aku berjumpa Nabi SAW dalam perang Tabuk dan Rasul SAW berada di dalam khemah daripada kulit binatang. Nabi SAW bersabda: kiralah enam perkara sebelum kiamat. 1. Kematianku 2. Pembukaan Bait al-Maqdis 3. Kematian yang besar yang akan mengambil kamu sama seperti penyakit ulat pada kambing ( iaitu taun yang berlaku kepada penduduk Syam) 4. Harta melimpah sehingga lelaki diberi seratus dinar namun dia tetap marah 5. Fitnah yang akan kena semua rumah orang Arab 6. Perdamaian antara kamu dengan orang-orang Rom lalu mereka akan memungkiri janji dan mereka akan datang dengan 80 bendera dan setiap satu bendera ada 12 ribu bala tentera.

(BUKHARI. KITAB JIZYAH. BAB PENGKHIANATAN YANG HARUS DIWASPADAI. NO HADITH 2940)

Keterangan Hadith :
(ستا) Maksudnya, enam tanda-tanda akan terjadinya Kiamat, atau tampak tanda-tanda yang mendekati terjadinya Kiamat.ثم موتان  Kemudian kematian,
Al-Qazzaz berkata, “ Kata ‘mutaan’ bermakna kematian”. Sementara ulama lain selain daripadanya berkata, “Maknanya adalah kematian yang sangat banyak”.
Dalam riwayat Ibnu as-Sakan disebutkan “mautataan” (dua kematian), iaitu dalam bentuk tatsniyah (ganda). Dengan demikian, harus dibaca fathah pada huruf pertama.
كعقاص الغنم (sama seperti penyakit kambing). Uqash adalah penyakit yang menimpa haiwan ternakan di mana air keluar dari hidungnya dan mengakibatkan kematian mendadak. Abu Ubaid berkata, “dari sini diambil kata iq’ash, iaitu kematian”. Ibnu Faris berkata, “Uqash adalah penyakit yang menimpa di bahagian dada seakan-akan mematahkan leher”. Dikatakan bahawa tanda kiamat ini telah nampak saat menyebar wabak ta’un anwas di masa pemerintahan umar, dan hal itu terjadi setelah pembebasan Baitul maqdis.
 ثم استفاضة المال( kemudian harta melimpah). Tanda kiamat ini nampak pada masa pemerintahan Uthman bin Affan ketika terjadi pembebasan secara besar-besaran, dan fitnah yang disenyalir dimulai dengan terbunuhnya Uthman. Setelah itu bencana dan fitnah terjadi. Sedangkan tanda Kiamat keenam yang disebutkan pada hadith ini belum pernah berlaku.
هدنة(perdamaian). Maksudnya, mengikat perjanjian untuk tidak melakukan peperangan setelah terjadi gerakan peperangan. Adapun yang dimaksudkan dengan bani Ashfar adalah bangsa Romawi.
غاية (Ghaayah). Iaitu, panji. Panji dinamakan ghaayah (tujuan), kerana ia adalah sesuatu yang diikuti, jika berhenti maka pasukan pun akan berhenti.

Pengajaran Hadith:
1. Umat Islam diingatkan supaya meneliti segala tanda kiamat yang telah disabdakan oleh Baginda Nabi SAW.
2. Manusia mesti sentiasa bersedia dan berwaspada dengan segala tanda yang disebutkan oleh Rasulullah SAW.

Rujukan:
( Ibn Hajar al-Asqalani. 20009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari. Penterjemah: Amiruddin. Cet. 3. Jil. 16. Hlm 870-875. )